يَا أَيُّهَا الَّذِينَ
آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلاَةِ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Firman Allah s.w.t: “Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah
pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat kerana sesungguhnya Allah
bersama orang-orang yang sabar” [Surah Al-Baqarah, ayat 153]
Assalamua’alaikum wrt. wbt. Syukur kepada Allah Ta’ala kerana masih memberi
kesempatan kepada kita untuk hidup dalam keimanan dan Islam dengan mengucapkan “Alhamdulillahi
Rabbil ‘Alamin”. Tidak lupa pula kita berselawat kepada baginda Rasulullah
s.a.w dengan mengucapkan “Allahumma Solli ‘Ala Sayyidina Muhammad Wa
‘Ala Aali Sayyidina Muhammad”. Mudah-mudahan dengan berselawat kepada
baginda, akan diberi syafaat olehnya di akhirat nanti. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
Pada kali ini, kita akan sama-sama mengkaji tafsir dari ayat 153, Surah
al-Baqarah. Ayat ini mempunyai hubungan dengan ayat-ayat sebelumnya, iaitu
Allah menjelaskan tentang musuh Islam yang dengki atau melakukan kejahatan
terhadap ummat Islam kerana mengikuti kebenaran iaitu mengikuti petunjuk Nabi
Muhammad s.a.w. Orang-orang Islam tidak termakan dengan isu orang Yahudi dengan
meragukan ummat dalam isu peralihan kiblat. Berbagai cara yang mereka lakukan
agar ummat Islam tidak mengikuti kebenaran itu. Ini adalah sesuatu yang berat
bagi ummat Islam yang perlu menghadapi kedengkian musuh terhadap mereka. Maka
Allah turunkan ayat di atas supaya memohon pertolongan kepada
Allah dan Allah mengajarkan pula cara memohon pertolongan itu adalah dengan cara bersabar dan solat. Kerana apabila Allah sudah bersama dengan orang yang sabar, maka tidak ada lagi maknanya kedengkian musuh tersebut. Sehebat manapun musuh itu, mereka tidak akan berhasil menggoyahkan keimanan ummat Islam. Sebab Allah memelihara orang yang sabar dari kejahatan musuh.
Allah dan Allah mengajarkan pula cara memohon pertolongan itu adalah dengan cara bersabar dan solat. Kerana apabila Allah sudah bersama dengan orang yang sabar, maka tidak ada lagi maknanya kedengkian musuh tersebut. Sehebat manapun musuh itu, mereka tidak akan berhasil menggoyahkan keimanan ummat Islam. Sebab Allah memelihara orang yang sabar dari kejahatan musuh.
Akan tetapi, adakalanya sabar kita itu menjadi lemah kerana menghadapi
penderitaan yang panjang. Maka, untuk memulihkan kesabaran kita itu, Allah
gandingkan dengan solat. Kerana dengan solat, kesabaran kita kembali kuat.
Kembali pulih seperti sebelumnya. Maka, mudah pula bagi kita menghadapi
penderitaan menghadapi musuh.
Perlu difahami konteks ayat ini bukanlah hanya untuk perkara itu sahaja.
Malah ayat ini juga boleh dijadikan sandaran dalam perkara-perkara lain.
Mungkin kita menghadapi penderitaan dengan pelbagai ujian seperti sakit,
kelaparan, kemiskinan, dengki orang, kematian seperti yang disebutkan pada ayat
selanjutnya iaitu ayat 155. Boleh jadi, berat untuk kita melakukan ketaatan
sekalipun kita mampu menghadapinya dan yang lebih berat lagi apakah kita mampu
bertahan dalam melakukan ketaatan di saat kita menderita? Inilah yang dinamakan
sabar. Sabar terhadap penderitaan dari musuh dan penderitaan terhadap
ujian-ujian dalam kehidupan kita.
“Wahai orang-orang yang beriman”. Banyak ayat ini di dalam al-Qur’an. Di
sini kita dapat ketahui bahawa Allah ingin menjelaskan suatu kewajipan
setelahnya dengan keimanan yang ada pada hamba-Nya iaitu memohon pertolongan
kepada Allah. Maka ini menjadi satu kewajipan bagi orang-orang yang beriman
supaya meminta tolong hanya kepada Allah. Kenapa? Sebab orang beriman, mereka
tahu bahawa mereka adalah hamba yang lemah, memiliki kekurangan dan
keterbatasan, tidak ada daya upaya kerana semuanya adalah dari sisi Allah dan
apabila Allah menguji dengan penderitaan dan musibah, maka wajib bagi orang
yang berimam memohon pertolongan dari Allah kerana untuk menampakkan
penghambaan diri kepada Allah. Jika tidak mahu meminta tolong kepada Allah,
maka nampaklah keangkuhan dan kesombongan seperti mereka itu mampu untuk
menyelesaikan penderitaan atau musibah itu sendiri. Siapalah kita nak
dibandingkan dengan kekuasaan Allah? Sesungguhnya manusia adalah makhluk yang
lemah dan tidak memiliki kekuasan.
Meminta tolong kepada Allah adalah ibadah dan itu adalah perbuatan yang
mulia. Meminta tolong kepada Allah adalah untuk membuktikan kita ini hamba yang
memiliki keterbatasan kelemahan, tiada kuasa. Maka nampaklah kerendahan kita
dihadapan Allah Yang Maha Tinggi. Maka nampaklah hina kita dihadapan Allah Yang
Maha Mulia. Meskipun kita kaya, walaupun kita kuat, mintalah pada Allah dengan
kerendahan hati sebagai hamba yang miskin, hamba yang lemah untuk menampakkan
kehambaan kita kepada Allah.
Kita nak tidur, adakah pejam mata rapat-rapat terus tidur? Tidak. Siapa
yang menidurkan kita? Allah s.w.t. Walaupun mata itu ada di kepala kita pun,
kita tak dapat tidur jika Allah tidak tidurkan kita. Kadang-kadang, ada orang
tak boleh tidur sampai pagi.
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
“Hanya kepada Engkaulah (Allah) yang kami sembah, dan hanya kepada
Engkaulah kami memohon pertolongan”. [Surah al-Fatihah, ayat 5]
SABAR
Sabar maknanya menahan yakni menahan dari hawa nafsu. Jika sakit, maka
keinginan nafsu nak kepada sihat. Dah bertahun-tahun makan ubat, tapi tak
sihat-sihat juga. Lalu, bagaimana cara menghadapi sakit supaya dapat
menjalaninya sakit dengan baik? Tahanlah hawa nafsu itu dari nak sihat. Tapi
walaupun keinginan nafsu itu nak sihat, apakah kita akan sihat apabila
memperturutkan hawa nafsu? Yang menentukan kita sihat adalah Allah, jika kita
disembuhkan, maka kita pun sihat.
Kadang-kadang kita berdoa “Ya Allah! Dah 3 bulan dah Allah. Hamba
dah lama sakit ni Ya Allah, berapa lama lagi Ya Allah penyakit hamba ni”.
Cuba menahan hawa nafsu itu. Seperti kita kata, “Ya Allah! Yang menetapkan
penyakit ini. Aku yakin pasti ada hikmah disebaliknya. Hamba beriman dan yakin
kepadaMu. Aku akan jalani penyakit ini, seberapa lama yang Engkau tetapkan akan
aku hadapinya dengan pasrah dan redha bahkan aku menikmati penyakit ini kerana
Engkau Yang Bijaksana pasti ada hikmah disebaliknya”. Dengan kasih sayang
Allah, Allah akan sembuhkan.
Ada orang dengki dengan kita atau ada orang melakukan kejahatan kepada
kita. Pada waktu itu, nafsu kita ingin membalasnya. Tapi kita bersabar. Ini
adalah ujian, pasti ada hikmahnya. Ingin menguatkan iman kita. Supaya lebih
mudah menghadapi ujian hidup akan datang. Nabi pun dimusuhi, apatah lagi kita.
Sabar ini ada dalam 2 perkara, iaitu dalam perkara yang kita tak suka dan
perkara yang kita suka. Firman Allah:
وَنَبْلُوكُمْ بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ
فِتْنَةً
“Kami uji kamu dengan perkara yang buruk (yang kamu tak suka) dan perkara
yang baik (yang kamu suka) sebagai ujian”. [Surah al-Anbiya, ayat 35]
Jika minta tolong kepada Allah, mintalah dengan bersabar. Allah akan
menolong kita sama ada dalam perkara yang buruk dan perkara yang baik. Perkara
yang buruk, yang kita tak suka, banyak. Sakit, lapar, miskin, dan sebagainya.
Perkara yang baik sebagai contoh menuntut ilmu kerana memerlukan masa yang
lama, banyak kena habis duit. Maka, kita bersabar. Allah akan tolong sehingga
tanpa kita sedar pada hari ini kita dapat lulus dalam UPSR, PMR, SPM, dapat
masuk universiti dan berjaya sehingga tamat pengajian.
Sekarang, bagaimana untuk menjadikan sabar itu sentiasa ada dalam diri
kita? Dengan menunaikan solat. Kata nabi, “Bila aku susah aku sabar dan
bila terasa sangat susah, maka aku solat”. Kerana solat akan menguatkan
kesabaran kita. Kerana solat menghubungkan kita dengan Allah. Kita yang lemah
berhubung dengan Yang Maha Berkuasa, maka Allah akan menutupi kelemahan kita.
Kita pun menjadi sabar kembali. Kita pun tenang. Jika tak tenang juga, pasti
ada yang tak kena dengan solatnya, dengan kata lain, solatnya kurang sempurna.
SOLAT
Di dalam solat, ada 3 perkara penting iaitu kita takbir, tahmid dan tasbih.
MembesarkanNya, Allah nampakkan kekuasaanNya. MemujiNya, Allah
menampakkan Dzat Allah Yang Terpuji dan MensucikanNya, Allah nampakkan bahawa
Dia jauh dari sifat kekurangan. Kita yakin dengan Allah. Kita bersangka baik
kepada Allah. Maka Allah akan tolong kita dan akan bersama dengan kita.
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ - رضى الله عنه -
قَالَ قَالَ النَّبِىُّ - صلى الله عليه وسلم - ) يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى أَنَا
عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِى بِى ، وَأَنَا مَعَهُ إِذَا ذَكَرَنِى ، فَإِنْ ذَكَرَنِى
فِى نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ فِى نَفْسِى ، وَإِنْ ذَكَرَنِى فِى مَلأٍ ذَكَرْتُهُ فِى
مَلأٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ ، وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَىَّ بِشِبْرٍ تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ
ذِرَاعًا ، وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَىَّ ذِرَاعًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ بَاعًا ،
وَإِنْ أَتَانِى يَمْشِى أَتَيْتُهُ هَرْوَلَةً )
Maksudnya:
“Dari Abu Hurairah, dia berkata: Rasulullah Saw bersabda: Allah berfirman:
“Aku menurut sangkaan hamba-Ku kepada-Ku. Aku bersamanya apabila dia
mengingati-Ku. Jika dia mengingati-Ku dalam dirinya, maka Aku mengingatnya
dalam diri-Ku. Jika dia mengingati-Ku dalam satu kumpulan, Aku mengingatinya
dalam kumpulan yang lebih baik dari kumpulan mereka. Jika dia mendekati
kepada-Ku satu jengkal, maka Aku mendekati kepadanya satu hasta. Jika dia
mendekati kepada-Ku satu hasta, maka Aku mendekati kepadanya satu lengan. Jika
dia datang kepada-Ku dengan berjalan, maka Aku datang kepadanya dengan
berlari”. [Sahih Bukhari]
Kisah Nabi Yunus Ditelan Ikan
Kata Allah, “Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun (Nabi Yunus),
ketika dia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan
dia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau ujian
(setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku; yakni ditelan ikan) maka dia pun
menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita (dalam perut ikan) dengan berkata:
"Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (Ya Allah)!
Maha suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya
aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri. Maka Kami kabulkan
permohonan doanya, dan Kami selamatkan Dia dari kesusahan yang menyelubunginya
dan demikianlah Kami selamatkan pula orang-orang yang beriman (ketika mereka
merayu kepada Kami). [Surah al-Anbiya’, ayat 87-88]
Firman Allah lagi, “Maka kalaulah dia (Yunus) bukan dari
orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih), tentulah
dia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari berbangkit”. [Surah
as-Soffat, ayat 143-144]
Nabi Yunus diselamatkan Allah dengan bertasbih kepadaNya. Inilah yang
dinilai dalam solat. Dalam Surah Muzammil, kerana beban yang dihadapi oleh
Rasulullah ketika ummat Islam ditindas, Allah mengingatkan Nabi “Wahai
orang yang berselimut! (Muhammad), bangunlah (untuk solat) pada malam hari,
separuh malam, atau kurang sedikit dari itu, atau lebih dari itu”.
Kelebihan Orang Yang Sabar
Di dalam al-Qur’an, banyak disebutkan kelebihan dan keistimewaan
orang-orang yang bersabar. Salah satunya adalah orang-orang yang sabar akan
masuk syurga tanpa dihisab. Firman Allah:
إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ
أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ
“Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan
balasan mereka dengan tanpa dihisab”. [Surah az-Zumar, ayat 10]
Dalam riwayat tafsir mengatakan, suatu ketika malaikat terkejut apabila
nampak sekumpulan manusia dan berkata “Hei kamu! kemana kamu nak
pergi?” Mereka menjawab, “Kami nak masuk syurga”. Kata
malaikat, “Tapi kamu belum dihisab”. Mereka berkata, “Ya,
tapi kami sudah diperkenankan untuk masuk ke dalam syurga”. Malaikat
bertanya lagi, “Apa yang menyebabkan kamu terus masuk ke syurga tanpa
di hisab?” Mereka menjawab, “Kami adalah orang-orang yang
sabar dahulu ketika di dunia”.
Wallahua’lam…
Sumber: Fathi Yakan Blog
No comments:
Post a Comment